Friday, December 26, 2008

Rohani - wanita mampu menyerlah (20 Disember 2008)


PENGHARGAAN..Rajali (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Rohani (kiri) sambil disaksikan (dari kiri sekali) Hajjah Azizah, Hajjah Ainon dan Patihi ketika berlangsungnya majlis hari ini.

BETONG, Sabtu (20 dis)– Jumlah peratusan wakil rakyat wanita yang rendah dalam Dewan Parlimen atau Rakyat pada masa sekarang menunjukkan bahawa rakyat di negara ini masih kurang yakin terhadap kepimpinan kaum wanita dalam hidup mereka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim berkata sehingga kini hanya terdapat sejumlah sembilan peratus sahaja golongan wanita yang berkhidmat sebagai wakil rakyat dalam Dewan Parlimen di negara ini.

“Peratusan ini menunjukkan bahawa rakyat masih kurang yakin terhadap kepimpinan wanita dalam bidang politik pada masa sekarang kerana rata-rata mereka masih menganggap bahawa kaum lelaki sahaja yang dapat meneraju hidup mereka.

“Tanggapan seperti ini harus ditepikan kerana kaum wanita juga mampu memegang banyak peranan penting di negara ini dari aspek politik hinggalah ke sosial,” katanya sambil menambah bahawa rakyat harus memberikan kepercayaan sepenuhnya terhadap calon wakil rakyat wanita (dari Barisan Nasional) menjelang pilihanraya akan datang..

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Jiran Wanita Peringkat Negeri anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Betong bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong hari ini.

Sambil menyatakan nama tokoh pembangunan wanita bersejarah seperti Saidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ummu Salamah dan Zainab Al- Ghazali, golongan wanita kata Rohani boleh menyumbang kepada pembangunan hidup rakyat sekiranya diberi peluang oleh semua rakyat untuk memimpin mereka.

Selain itu golongan wanita dari kawasan luar bandar katanya juga telah berjaya membuktikan kemampuan diri masing-masing untuk mempertingkatkan kualiti hidup mereka dari segi perniagaan runcit serta jualan juadah makanan secara kecil-kecilan.

“Dengan menyertai skim micro kredit yang diuruskan oleh Yayasan Usaha Maju (YUM) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), kaum wanita terutamanya ibu tunggal telah berjaya mempertingkat kualiti hidup keluarga menerusi bidang perniagaan masing-masing.

“Lagipun komitmen pembayaran semula skim terbabit mengikut tempoh yang ditetapkan oleh kaum wanita selama ini membuktikan bahawa mereka mampu menguruskan perancangan hidup dengan lebih cekap dan teratur,” katanya.

Justeru Rohani berharap kaum wanita menerusi program Jiran Wanita ini dapat menilai serta mengambil peluang terbabit untuk melaksana pelbagai aktiviti sosial yang sihat demi memperkukuhkan kedudukan diri sendiri dan keluarga.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia Sarawak, Rajali Haji Mudin, Pengarah Urusan Riger Consultant, Hajjah Ainon Kuntom, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia, Hajjah Azizah Ariffin, Timbalan Residen Betong, Patihi Kerni, para pegawai kerajaan dan peserta konvensyen dari seluruh negeri Sarawak.

No comments: