Sunday, January 18, 2009

Banjir oh Banjir Di Kawasan P.201 Batang Lupar











1) Kejadian air pasang besar setinggi 6.2 meter yang lalu telah menyebabkan kawasan yang berdekatan dengan sungai dan laut telah mengalami banjir yang agak teruk. tambahan pula hujan yang turun tanpa henti-henti selama beberapa hari juga telah menyebabkan kapasiti air sungai meningkat.

2) Antara kawasan Dun Sebuyau (N.22) yang terlibat dengan kejadian air pasang besar ini adalah seperti Kampung Sungai Arus, Raba, Sungai Ijok dan Skitong, Kesemua mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir dan sudah pulang kerumah masing-masing apabila air telah mula surut sepenuhnya. Pihak kebajikan telah menghulurkan bantuan. YB kawasan juga telah melawat mangsa-mangsa banjir ini.

3) Bagi kawasan Dun Lingga (N.23), ia melibatkan kampung Lingga, Stumbin, Rumah-rumah panjang sekitar jalan Sri Aman-Lingga, Kampung Hilir Sri Aman, Kampung Hulu Sri Aman, Meludam dan juga Triso. YB ADUN telah melawat kawasan yang terkena banjir atau air pasang besar. YB Ahli Parlimen juga telah turun padang bagi memantau keadaan Banjir.

4) Bagi kawasan Dun Beting Maro (N.24), ia melibatkan kampung Pusa, Kalok, Beladin dan juga Semarang. Namun ia dalam keadaan yang terkawal dan tiada mangsa yang dipindahkan. Keadaan ini dilihat sebagai kejadian air pasang besar.


Tuesday, January 13, 2009

Perpaduan itu penting - Rohani















Caption: TERHIBUR...Rohani sedang seronok menyaksikan acara yang berlangsung bersempena dengan penganjuran Pentas Citra Belia di Mini Stadium Sri Aman baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (12 Jan) – Penglibatan semua pihak dalam aktiviti sukan bagi mengukuhkan lagi hubungan perpaduan di antara penduduk berbilang kaum dilihat sebagai satu langkah positif ke arah memantapkan pembangunan individu, keluarga serta komuniti dalam negeri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim berkata demikian ketika berucap merasmikan Pentas Citra Belia anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman di Mini Stadium Sri Aman baru-baru ini.

“Pentas Citra Belia ini misalannya dilihat sebagai satu langkah positif ke arah hubungan perpaduan, pembangunan individu, keluarga serta komuniti malah secara tidak langsung juga dilihat sebagai batu loncatan bagi pihak kerajaan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.

“Maka untuk membolehkan kerajaan mencapai matlamat Wawasan 2020, semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan diminta untuk terus aktif dalam mengadakan aktiviti sukan di kawasan masing-masing seperti menganjurkan liga sukan komuniti,” katanya.

Selain itu katanya, penduduk di negeri ini haruslah berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mempunyai dasar yang amat baik untuk memelihara hubungan perpaduan di kalangan penduduk berbilang kaum.

Malah kerajaan BN kata Rohani juga sememangnya bersikap adil dalam semua dasar dan rancangan pembangunan yang merangkumi kawasan dalam dan luar bandar tanpa mengira latar belakang kaum serta agama.

“Semua suku kaum telah diberi peluang yang saksama oleh kerajaan untuk menikmati faedah pembangunan menerusi perlaksanaan projek yang merangkumi penyediaan kemudahan infrastruktur, pendidikan, sukan, keperluan asas dan perhubungan sebelum ini.

“Bagaimanapun saya berharap perpaduan yang kita rasai pada hari tidak boleh dianggap datang secara tiba-tiba sahaja kerana ianya adalah hasil usaha gigih daripada para tokoh politik dam ketua masyarakat yang tidak pernah jemu berusaha untuk mewujudkan prinsip perpaduan sejak dari dulu lagi,” katanya.

Terdahulu program Pentas Citra Belia 2009 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman telah menampilkan pelbagai acara menarik antaranya ialah Pertandingan Tarian Shuffle, Pertandingan Nyanyian Lagu Karaoke secara Solo bagi kategori Iban dan Cina serta Pertandingan Nyanyian Karaoke Lagu Melayu Secara Berduet.

Program Pentas Citra Belia 2009 yang telah bermula semenjak 9 Januari lalu menyaksikan lebih 500 penduduk hadir bagi menyaksikan pertandingan di Mini Stadium MDSA berkenaan.

Hadir sama untuk menyaksikan Pentas Citra Belia 2009 ini ialah Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Mohd Ishak Ismail dan wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Shamsiah Deli.

Monday, January 12, 2009

Rohani - Kerajaan teruskan usaha pastikan bekalan makanan negara mencukupi





























SRI AMAN, Ahad (11 Januari) – Usaha masih lagi giat dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan Dasar Jaminan Makanan Negara dipenuhi biarpun isu terbabit agak kurang diperkatakan pada masa sekarang.

Ianya termasuklah usaha berterusan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam mencapai Tahap Sara-Diri khsuusnya menerusi pengeluaran padi dan beras negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim berkata demikian kepada para pemberita sebaik sahaja tamat Majlis Perasmian Pentas Citra 2009 bertempat di Mini Stadium Majlis Daerah Sri Aman malam tadi.

Untuk mencapai sasaran ini menurut beliau, satu mesyuarat jawatankuasa induk kementerian terbabit akan diadakan esok (12 Januari) di Kuala Lumpur bagi membincangkan perkara mengenai pengeluaran padi negara dan penghasilan beras.

“Mesyuarat jawatankuasa induk yang akan dipengerusikan sendiri oleh menterinya iaitu Dato Mustapa Mohamed ini turut membincangkan pelan menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah jelapang padi yang baru dalam negara ini.

“Untuk itu kawasan Kota Belud di Sabah, Bundong Sian di Sarikei serta Stumbin-Bijat di Sri Aman, Sarawak adalah diantara lokasi yang telah pun dicadangkan untuk tujuan naiktaraf kemudahan termasuk dari segi sistem pengaliran dan peparitan di kawasan ini,” katanya.

Rohani juga turut menambah bahawa kerajaan ini sudah pun menyalurkan bantuan kepada golongan penanam padi bukit bagi kedua-dua negeri (Sabah dan Sarawak) dengan harapan untuk mempertingkat tahap pengeluaran beras.

“Untuk makluman anda pihak kerajaan kini telah pun mengagihkan baja secara percuma kepada semua penanam padi bukit di Sabah dan Sarawak sebagai langkah untuk mempertingkat pengeluaran beras dalam negara ini,” katanya.

Terdahulu program Pentas Citra Belia 2009 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman telah menampilkan pelbagai acara menarik antaranya ialah Pertandingan Tarian Shuffle, Pertandingan Nyanyian Lagu Karaoke secara Solo bagi kategori Iban dan Cina serta Pertandingan Nyanyian Karaoke Lagu Melayu Secara Berduet.
Program Pentas Citra Belia 2009 yang telah bermula semenjak 9 Januari lalu menyaksikan lebih 500 penduduk hadir bagi memeriahkan suasana pertandingan di Mini Stadium MDSA berkenaan.

Hadir sama untuk menyaksikan Pentas Citra Belia 2009 ini ialah Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Mohd Ishak Ismail dan wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Shamsiah Deli.

Megatron juara Pertandingan Tarian Shuffle: Sri Aman















TAHNIAH...Rohani (tengah) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama kumpulan Hardstyle, Gua Style dan Lu Sytle yang muncul naib johan menerusi pertandingan tarian shuffle malam tadi.


SRI AMAN, Ahad (11 Jan) – Kumpulan Megatron muncul juara Pertandingan Tarian Shuffle yang diadakan bersempena dengan penganjuran program Pentas Citra Belia 2009 di Mini Stadium Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) malam tadi.

Megatron muncul juara setelah persembahan mereka menyakin para juri pertandingan dan sekaligus menyingkirkan saingan daripada empat buah kumpulan yang turut berentap dalam saingan akhir malam tadi.

Kemenangan ini membolehkan Megatron membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan hamper menerusi pertandingan terbabit. Kumpulan Hardstyle, Gua Style dan Lu Style pula muncul pemenang naib juara manakala DHA pula menduduki tempat ketiga dalam pertandingan ini.

Pertandingan Karaoke Lagu Melayu Berduet pula menyaksikan pasangan Zul Azhar dan Noor Shazwanni Basri muncul juara setelah lagu dendangan mereka iaitu Nilai Cinta berjaya menambat hati para juri.

Manakala itu pasangan Awang Shamizal dan Norsofiana menerusi persembahan lagu berjudul Mengapa Sukar Melafazkan Maaf beroleh kedudukan naib juara dalam kategori ini manakala pasangan Awang Kelana dan Khatijah pula menduduki tempat ketiga menerusi persembahan lagu berjudul Hancur Badan Dikandung Tanah.

Tuah menyebelahi Noor Shazwanni Basri apabila beliau dinobatkan sebagai juara Pertandingan Karaoke Solo Kategori Lagu Iban menerusi dendangan lagu berjudul Bujang Semanggang.

Tempat kedua dalam kategori ini pula dimenangi oleh Steven Anggah menerusi persembahan lagu berjudul Belala Aus Pengerindu manakala Daud Ahmad menerusi persembahan lagu Pulai Meh Sulu hanya menduduki tempat ketiga bagi kategori terbabit.

Pertandingan Karaoke Solo Kategori Lagu Cina pula menyaksikan Ho Sheng Yiew muncul juara sambil diikuti oleh Kiew Tiew Wen dan Ting Yiu Eng yang menduduki tempat kedua serta ketiga dalam kategori terbabit.

Semua hadiah berupa wang tunai dan hamper bagi pemenang tempat pertama hingga ketiga bagi setiap kategori terbabit telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim.

Program Pentas Citra 2009 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 500 penduduk terutama sekali beliawan dan beliawanis dari sekitar bandar Sri Aman ini.

Hadir sama untuk menyaksikan Pentas Citra Belia 2009 ini ialah Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Mohd Ishak Ismail dan wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Shamsiah Deli.

Thursday, January 1, 2009

Selamat Menyambut Tahun Baru 2009.

Semoga tahun 2009 akan memberi lebih banyak kematangan dan kewarasan dalam pemikiran rakyat Malaysia. Biarlah kebenaran itu sentiasa berada di hati rakyat Malaysia. Apa yang terjadi pada tahun 2008 semoga akan menjadi pengajaran dalam kita menghadapi kehidupan seharian. Selamat menyambut tahun baru and Happy New Year to all Malaysian.