Monday, January 12, 2009

Rohani - Kerajaan teruskan usaha pastikan bekalan makanan negara mencukupi





























SRI AMAN, Ahad (11 Januari) – Usaha masih lagi giat dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan Dasar Jaminan Makanan Negara dipenuhi biarpun isu terbabit agak kurang diperkatakan pada masa sekarang.

Ianya termasuklah usaha berterusan oleh pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam mencapai Tahap Sara-Diri khsuusnya menerusi pengeluaran padi dan beras negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim berkata demikian kepada para pemberita sebaik sahaja tamat Majlis Perasmian Pentas Citra 2009 bertempat di Mini Stadium Majlis Daerah Sri Aman malam tadi.

Untuk mencapai sasaran ini menurut beliau, satu mesyuarat jawatankuasa induk kementerian terbabit akan diadakan esok (12 Januari) di Kuala Lumpur bagi membincangkan perkara mengenai pengeluaran padi negara dan penghasilan beras.

“Mesyuarat jawatankuasa induk yang akan dipengerusikan sendiri oleh menterinya iaitu Dato Mustapa Mohamed ini turut membincangkan pelan menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah jelapang padi yang baru dalam negara ini.

“Untuk itu kawasan Kota Belud di Sabah, Bundong Sian di Sarikei serta Stumbin-Bijat di Sri Aman, Sarawak adalah diantara lokasi yang telah pun dicadangkan untuk tujuan naiktaraf kemudahan termasuk dari segi sistem pengaliran dan peparitan di kawasan ini,” katanya.

Rohani juga turut menambah bahawa kerajaan ini sudah pun menyalurkan bantuan kepada golongan penanam padi bukit bagi kedua-dua negeri (Sabah dan Sarawak) dengan harapan untuk mempertingkat tahap pengeluaran beras.

“Untuk makluman anda pihak kerajaan kini telah pun mengagihkan baja secara percuma kepada semua penanam padi bukit di Sabah dan Sarawak sebagai langkah untuk mempertingkat pengeluaran beras dalam negara ini,” katanya.

Terdahulu program Pentas Citra Belia 2009 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman telah menampilkan pelbagai acara menarik antaranya ialah Pertandingan Tarian Shuffle, Pertandingan Nyanyian Lagu Karaoke secara Solo bagi kategori Iban dan Cina serta Pertandingan Nyanyian Karaoke Lagu Melayu Secara Berduet.
Program Pentas Citra Belia 2009 yang telah bermula semenjak 9 Januari lalu menyaksikan lebih 500 penduduk hadir bagi memeriahkan suasana pertandingan di Mini Stadium MDSA berkenaan.

Hadir sama untuk menyaksikan Pentas Citra Belia 2009 ini ialah Penolong Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Mohd Ishak Ismail dan wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Shamsiah Deli.

No comments: