Friday, October 1, 2010



Caption:

1. MENARIK...Rohani sambil diapit oleh Simoi (belakang), Roslan (dua belakang) dan Felicia (kiri sekali) sedang tertarik melihat sebuah gubahan bunga ketika berlangsungnya majlis itu.


SRI AMAN, Khamis (30 Sept) - Program Bimbingan Menaiktaraf Ekonomi Usahawan Kecil dan Ramah Tamah dan Aidilfitri anjuran Bank Rakyat Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman telah diserikan lagi dengan 550 orang penduduk dari Bandar Sri Aman baru-baru ini.


Program yang mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat,Urusetia Saudara Kita (USK), Tabung Baitulmal serta Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak(PPWS) itu terdiri daripada 200 orang peserta ceramah dan 350 orang pengunjung.


Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Roslan Ali memberitahu program ini bertujuan untuk mendidik para usahawan kecil tentang langkah bagi memperkembangkan lagi perniagaan masing-masing selepas ini.


“Bank Rakyat selaku sebuah koperasi terbesar di negara ini menyimpan harapan untuk memberikan pendedahan serta landasan bagi memajukan perniagaan para usahawan kecil sekaligus membantu golongan susah di kawasan Sri Aman.


“Justeru menerusi program ini pihak kita telah menyampaikan ceramah mengenai maklumat dan langkah penting yang berkaitan dengan bidang keusahawan kepada para peserta untuk dimanfaatkan oleh diri mereka sendiri mulai sekarang,” menurut beliau.


Demi menjayakan program ini pihak beliau menurut Roslan telah mengadakan taklimat ceramah motivasi daripada Yusman Yacob(Maktab Kerjasama Malaysia) serta taklimat Produk Bank iaitu Skim Pembiayaan Ekonomi Desa(SPED), Pembiayaan Mikrokredit serta Pajak gadai emas(Ar-Rahnu),yang disampaikan oleh Pegawai Bank Rakyat.


Turut diadakan juga katanya ialah pertandingan masakan, pertandingan gubahan bunga, pertandingan mewarna, ceramah Pengurusan perniagaan secara syariah oleh Ustaz Zulhazmi,Tabung Baitulmal Sarawak Sri Aman dan penyampaian pakaian terpakai kepada warga kerja golongan susah oleh pihak Bank Rakyat.


“Program yang bermula dari pagi hingga petang itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajjah Rohani Abdul Karim.


“Dengan ini pihak Bank Rakyat cawangan Sri Aman dengan berbesar hati ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah turun padang bagi menjayakan program berkenaan,” katanya.


Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan timbalannya Felicia Tan, Pengarah Jabatan Kebajikan Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pengurus Tabung Baitulmal Sarawak Sri Aman, Shamshul Bahri Manap dan Pengerusi PPWS Kawasan Sri Aman, Nur Khadijah Abdullah.


Sumber : Sri Aman News

No comments: